Sembahyang jamak adalah menghimpunkan dua solat dalam satu waktu. Adakalanya jamak itu dinamakan jamak ta'khir dan adakalanya dinamakan jamak taqdim.
Jamak taqdim ialah mengerjakan sembahyang dalam waktu yang sebelumnya misalnya sembahyang Asar dilakukan pada waktu Zuhur sesudah mengerjakan sembahyang Zuhur.
Jamak ta'khir pula ialah menjamakkan sembahyang dalam waktu sesudahnya, misalnya sembahyang Zuhur dikerjakan sesudah sembahyang Asar atau sembahyang Maghrib sesudah Isyak.
Adapun yang boleh dijamakkan ialah sembahyang siang sama sembahyang siang seperti Zuhur dan Asar, dan sembahyang malam sama sembahyang malam seperti Maghrib dan Isyak.
Tidak boleh menjamakkan sembahyang siang dengan sembahyang malam begitu juga sebaliknya. Sembahyang Subuh tidak boleh dijamakkan.
Solat jamak dan qasar adalah rukhsah pemberian Allah untuk musafir. Pendapat yang lebih kuat ialah ia untuk musafir yang tidak bertujuan maksiat.
Namun bagi isu penetapan tempoh yang dibolehkan solat jamak dan qasar bagi musafir sebenarnya tiada dalil sahih lagi jelas berhubung dengannya.
Hukum Solat Qasar
Wujud pelbagai perbezaan pendapat mengenai permasalahan solat qasar. Perbezaan ini bersumber daripada kepelbagaian riwayat hadis dan athar (riwayat) yang datang daripada para perawi di kalangan sahabat Rasulullah SAW.
Apa yang dilakukan oleh segolongan masyarakat yang berada di luar negeri atau negara, yang selalu mengqasar dan menjamak solat, adalah berdasarkan pengetahuan yang dia miliki daripada seseorang.
Justeru, apa jua perbezaan pendapat yang berlaku diharapkan tidak mengakibatkan tali persaudaraan sesama saudara Muslim menjadi retak.
Perlu difahami bahawa permasalahan perbezaan pendapat di atas adalah permasalahan fiqh. Dan ia merupakan suatu yang perlu diterima dan kita dituntut untuk berlapang dada dan berbesar hati dalam meraikan perbezaan yang berlaku. Apa yang pasti sebagai umat Islam kita berusaha menjadikan dalil yang kuat sebagai landasan amal ibadah kita.
Keterangan mengenai qasar solat telah difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 101 yang bermaksud: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
Dalam ayat ini, mengqasar solat dikaitkan dengan "apabila takut dengan musuh."
Ketika turun ayat ini, para sahabat merasa hairan, adakah masih dibolehkan untuk mengqasar solat jika keadaan aman dan tenteram?
Justeru, ketika persoalan ini diajukan oleh sahabat kepada Rasulullah, maka baginda SAW bersabda: "Ia adalah sedekah dari Allah SWT, maka terimalah sedekah-Nya".
Aisyah r.a berkata: "Selama di Mekah, kewajipan solat adalah dua rakaat dua rakaat. Kemudian, ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, di tambah dua rakaat dua rakaat untuk setiap solat, kecuali maghrib, kerana ia adalah solat witir untuk siang hari, dan solat subuh kerana panjang bacaannya."
Rasulullah SAW ketika safar (musafir), baginda melakukan solat yang pertama (solat ketika masih di Mekah; dua rakaat dua rakaat).
Mengenai hukumnya pula, sebahagian ulama seperti mazhab Hanafi mengatakan wajib. Mazhab Maliki pula mengatakan sunah muakkad. Sedangkan Syafi'e dan Hanbali mengatakan boleh, ertinya dalam keadaan safar, mengqasar solat lebih baik daripada menyempurnakan.
Solat qasar tidak ada masalah dari segi hukum kerana ia memang disyariatkan.
Perincian bagaimana batasan-batasan solat qasar, bila seseorang boleh mengqasar solat, adalah berdasarkan butiran berikut:
l Jauhnya perjalanan yang disyariatkan qasar.
Fiman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 101 yang bermaksud: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
Dari ayat di atas, tidak ada batas tertentu tentang jarak safar (bermusafir), sehingga berapapun jarak tempoh safar, dekat atau jauh, seseorang boleh melakukan qasar.
Ibn Mundzir, menghimpun beberapa riwayat mengenai hal ini, di antaranya:
l Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim, dari Yahya ibn Yazid berkata: Aku bertanya kepada Anas ibn Malik tentang mengqasar solat? Anas berkata: Dahulu Rasulullah SAW, jika keluar rumah yang jauhnya sampai tiga batu atau satu farsakh maka baginda mengqasar solat.
Ibnu Hajar dalam menerangkan status hadis ini mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang paling sahih dan jelas, berkenaan dengan masalah ini (masalah jarak perjalanan sehingga diperbolehkan qasar).
l Dari Abu Said al-Khudri berkata: Ketika Rasulullah SAW melakukan safar sejauh satu farsakh, baginda mengqasar solat. (keterangan: satu farsakh>3 batu, satu batu > 1,748m, 3 batu> 5km lebih).
l Adapun pendapat ulama fiqh yang mensyaratkan bahawa boleh mengqasar solat dengan jarak perjalanan tertentu. Hal itu dibantah oleh Imam Khoroqi dalam kitab al-Mugni.
Saya tidak tahu dalil yang digunakan oleh para imam itu (imam-imam fiqh), kerana pernyataan para sahabat banyak yang bertentangan antara satu dengan yang lain, maka tidak boleh dijadikan dalil.
Padahal perkataan dan perilaku Rasulullah SAW telah jelas. Menurut Imam Kharaqi, penetapan syarat perjalanan harus sampai kepada batas tertentu seperti 85 km, adalah tidak bersumber, kerana ia bertentangan dengan perkataan dan perilaku Rasulullah SAW.
Bilakah seseorang itu dianggap musafir?
Seorang musafir disyariatkan mengqasar solatnya selama dia masih dalam safar iaitu jika dia tinggal di suatu tempat (tidak tahu tempoh tinggalnya) untuk menyelesaikan urusannya, maka dia dianggap sebagai musafir. Dalam hal ini boleh dikatakan semua ulama mencapai kata sepakat.
Akan tetapi para ulama berselisih pendapat jika seseorang berniat tinggal di suatu tempat, dengan masa tertentu (dia sudah tahu masa lama tinggalnya).
Ibn al-Qoyyim lebih memilih pendapat bahawa niat tinggal di suatu tempat dengan sudah mengetahui batas waktu tertentu, tidak menghapus keadaannya sebagai musafir selama ia tidak menjadi penduduk setempat.
Dalam hal ini, para ulama mempunyai pendapat sesuai dengan ijtihad masing-masing. Oleh yang demikian, setiap orang yang mempunyai kemampuan untuk mengkaji permasalahan-permasalahan fiqh, maka dia sewajarnya melakukannya, dan mengambil pendapat yang berdasarkan dengan dalil yang kuat.
Namun begitu, bagi orang awam tidak mengapa jika mereka mengikuti pendapat satu mazhab tertentu tanpa harus taksub dengan pendapat itu. Wallahu a'lam.
sumber: Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment